KENYATAAN RASMI

Persatuan Juru X-Ray Malaysia

(Malaysian Society of Radiographers)

BANTAHAN TERHADAP CADANGAN PENGGUNAAN RADAS ‘PORTABLE X-RAY DAN MOBILE C-ARM’ OLEH PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN

Persatuan Juru X-Ray Malaysia (MSR) ingin merujuk kepada surat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (Ruj: JKNS/KA/KS-707/4-11 JLD.4 (22)) bertarikh 9 Julai 2025 mengenai permohonan credentialing and privileging untuk membenarkan Penolong Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan mengendalikan radas portable x-ray dan mobile c-arm di fasiliti kesihatan di Negeri Selangor.

MSR menyatakan bantahan tegas terhadap cadangan tersebut atas alasan berikut:

1. Pelanggaran Akta 774 Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (AHPA 2016)

Menurut Akta 774, pengendalian mana-mana peralatan sinaran (termasuk portable x-ray dan mobile c-arm) untuk tujuan diagnostik perubatan hanya boleh dilakukan oleh individu yang:

    • Berdaftar sebagai Juru X-Ray Diagnostik di bawah Majlis Ahli Kesihatan Bersekutu (AHPC), Kementerian Kesihatan Malaysia.
    • Mempunyai Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) yang

Pengendalian oleh individu yang tidak berdaftar adalah satu kesalahan di bawah Akta 774 dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Penolong Pegawai Perubatan tidak diiktiraf sebagai pengamal berdaftar untuk tujuan pengendalian radas diagnostik sinaran mengion.

2. Pelanggaran Akta 304 – Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984

Akta 304 mengawal penggunaan bahan radioaktif dan peralatan sinaran mengion melalui sistem pelesenan. Ia mengkehendaki bahawa hanya individu yang terlatih, berkelayakan, dan dilesenkan boleh mengendalikan peralatan sinaran mengion bagi menjamin keselamatan radiasi terhadap pesakit, pengendali dan orang awam.

Membenarkan individu bukan Juru X-Ray mengendalikan radas ini meningkatkan risiko pendedahan sinaran tidak terkawal dan menyalahi prinsip As Low As Reasonably Achievable (ALARA) yang ditetapkan dalam amalan perlindungan radiasi.

3. Isu Profesionalisme dan Kompetensi

Juru X-Ray telah menjalani latihan formal dalam bidang radiografi, termasuk aspek teknikal pengimejan serta keselamatan dan perlindungan radiasi. Penolong Pegawai Perubatan, walaupun mempunyai peranan penting dalam sistem kesihatan, tidak memiliki latihan khusus dalam pengendalian peralatan sinaran mengion.

Kekangan sumber manusia bukan justifikasi yang wajar untuk mengkompromi keselamatan pesakit dan piawaian amalan profesional.

4. Preseden Bahaya dan Penghakisan Profesion

Meluluskan permintaan ini akan mewujudkan preseden negatif yang mengancam skop amalan Juru X-Ray dan membuka ruang kepada penghakisan profesion. Ia juga boleh menjejaskan mutu imej diagnostik yang seterusnya memberi kesan kepada ketepatan diagnosis dan rawatan pesakit.

PENUTUP

Persatuan Juru X-Ray Malaysia menyeru pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan BKRP) dan Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu (BSKB) agar menolak permohonan ‘credentialing and privileging’ bagi Penolong Pegawai Perubatan dalam mengendalikan portable x-ray dan mobile c-arm.

Kami juga menyeru agar penyelesaian jangka panjang diberi tumpuan melalui penambahan perjawatan Juru X-Ray, pengambilan graduan baharu, serta penempatan semula sumber sedia ada dengan lebih berkesan tanpa mencabuli peruntukan undang-undang sedia ada.

“Profesion Kita Tanggungjawab Kita.”

 

 Yang menjalankan amanah,

Ts. Sawal Marsait Presiden

Persatuan Juru X-Ray Malaysia (MSR)